PERNIKAHAN DALAM ISLAM
Perkahwinan atau pernikahan dalam
Islam adalah suatu perkara yang sangat dituntut. ‘Nikah’ menurut
bahasa ialah bertemu, berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula
ialah ‘Ijab dan Qabul’ (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan
antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan
nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.
Perkataan 'zawaj' digunakan di
dalam Al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud
perkahwinan. Allah سبحانه وتعالى menjadikan manusia itu berpasang-pasangan,
menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan perbuatan zina.
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
وَمِن كُلِّ
شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ ﴿٤٩﴾
“Dan segala sesuatu Kami ciptakan
berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan
Kami) akan kebesaran Allah.” (Surah Adz-Dzariyaat 51; Ayat 49)
Rasulullah ﷺ bersabda:
يا معشر الشباب من استطاع
منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه
له وجاء. (رواه البخارى و مسلم)
“Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu
telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan
mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa
kerana puasa itu dapat membendung syahwat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
10 DALIL AL-QURAN TENTANG PERNIKAHAN
Terdapat 10 ayat dalam Al-Quran menyatakan tentang
pensyariatan pernikahan:
1. Surah An-Nisaa’ 4: ayat 1
2. Surah An-Nisaa’ 4: ayat 3
3. Surah An-Nahl 16: ayat 72
4. Surah An-Nuur 24: ayat 32
5. Surah Ar-Rum 30: ayat 21
6. Surah Luqman 31: ayat 10
7. Surah Yaasin 36: ayat 36
8. Surah Asy-Syu’araa 42: ayat 7
9. Surah Qaf 50: ayat 7
10. Surah Adz-Dzariyaat 51: ayat 49.
HUKUM-HAKAM PERNIKAHAN DALAM ISLAM
Pernikahan adalah suatu yang disarankan kepada orang yang
mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh memungkinkannya terjerumus ke lembah
maksiat (rogol, zina, liwat dan sebagainya) sedangkan dia seorang yang telah
berkemampuan iaitu dia berkemampuan membayar mahar (mas kahwin) dan mampu
memberi nafkah kepada bakal isterinya.
Dalam permasalahan pemilihan di antara 2 ibadah wajib, boleh
didahulukan pernikahan daripada menunaikan ibadah haji kerana bimbang akan
berlaku penzinaan, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib
perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.
TUJUAN PERNIKAHAN
Secara umum tujuan perkahwinan dalam Islam adalah seperti
berikut:
1. Melaksanakan perintah Allah سبحانه
وتعالى.
2. Mengikuti sunah Rasulullah ﷺ .
3. Membina rasa cinta dan kasih
sayang.
4. Bagi memperoleh keturunan yang
sah.
5. Bagi memperolehi kebahagiaan dan
ketenangan hidup yang sakinah.
6. Bagi memenuhi keperluan seksual
yang sah dan diredhai Allah سبحانه وتعالى.
HIKMAH PERNIKAHAN
1. Menjaga keturunan
2. Memelihara kesucian diri
3. Melaksanakan tuntutan syariat
4. Dapat mengeratkan silaturahim
5. Mewujudkan kerjasama dan
tanggungjawab
6. Suatu cara yang halal untuk
menyalurkan nafsu seks
7. Perzinaan, pelacuran, liwat dan
maksiat dapat dielakkan.
8.Untuk memperoleh ketenangan hidup,
kasih sayang dan ketenteraman
Ajaran dan pendidikan Islam begitu teliti dalam
menyediakan persekitaran yang sihat dalam membina keluarga dan membesarkan
anak-anak. Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa perhubungan ibu bapa akan
memudahkan si anak terjerumus dalam kegiatan2 negetif dan perkara2
yang tidak bermoral. Oleh itu, perkahwinan dan institusi kekeluargaan yang
disyorkan Islam, dilihat medium yang sesuai sebagai petunjuk dan pedoman
mewujudkan keluarga sakinah, mawadah, dan rahmah.
.
Allah سبحانه وتعالىberfirman:
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ
وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ
وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ
كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًۭا﴿١﴾
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada
Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan
yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa); Dan
daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan (zuriat
keturunan) yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan)
nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan
silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah An-Nisaa’ 4; Ayat 1)